Monday, March 21, 2011

MALAPETAKA AKHIR ZAMAN...!!!



Hari ini aku terpanggil untuk mencoretkan tentang bahayanya fitnah.
Pernah tak anda difitnah? Saya? Mungkin ada di antara kita yang pernah mengalami pengalaman seperti ini.

Maksud firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 191, yang bermaksud: " Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan ".

Fitnah bermaksud membuat tuduhan palsu kepada seseorang tanpa membawa sebarang bukti.
Fitnah termasuk dalam dosa besar yang sangat ditegah oleh Islam. Perbuatan ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai maksud buruk terhadap orang lain.
Kalau anda rasa anda hebat, kenapa perlu menabur fitnah untuk mendapatkan sesuatu?
Takut? Kenapa? Kerana orang yang difitnah itu sesungguhnya lebih hebat dari anda bukan?

Maksud sabda Rasulullah S.A.W: " Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya 'harju' ". Maka mereka bertanya: " Wahai Rasulullah, apakah maksud harju ". Baginda menjawab: " Harju adalah pembunuh ".

Di zaman dunia yang semakin maju hari ini, fitnah mudah sahaja disebarkan melalui pelbagai cara dan ianya cukup mudah berlaku di dalam teknologi komunikasi yang serba canggih seperti penggunaan kemudahan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), pengadunan video, laman web, emel, facebook dan seumpamanya. Penggunaan ini boleh dilakukan secara berleluasa tanpa berdepan dengan orang ramai dan murah.

Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: " Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan. "

Ingatlah! Fitnah itu boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan masyarakat Islam khususnya. Jadi berhati-hatilah menerima sebarang berita yang tidak jelas yang disampaikan oleh orang-orang yang fasik. Orang fasik adalah orang yang diragui keimanan dan keadilannya.

Dosa membuat fitnah dikategorikan sebagai dosa sesama manusia. Oleh yang demikian dosa itu tidak akan diampunkan oleh Allah S.W.T sehingga diampunkan oleh orang yang difitnahnya itu. Sesungguhnya dosa menyebarkan fitnah itu umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Ia juga menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan dan penyebar fitnah itu akan menjadi muflis di akhirat seterusnya menghilangkan kelayakannya untuk menghuni Syurga Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya: " Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta dunia. "

Bagi mereka yang dilanda musibah seperti ini, banyak-banyaklah bersabar. Sesungguhnya Allah S.W.T ingin mengangkat darjat anda. Janganlah mudah melatah dengan perbuatan yang kita tidak lakukan. Sesungguhnya Allah S.W.T bersama dengan orang-orang yang sabar. Dan semestinya ujian yang maha berat itu hanya diberikan oleh Allah S.W.T ke atas hambanya yang mampu menanggung dan menghadapinya sahaja.

Janganlah kita tergolong dari kalangan mereka yang suka menabur fitnah dan mengadu domba. Walau ia berguna di dunia namun tidak sekali-kali ia berguna di akhirat.
Wallahu'alam...



3 comments:

dean said...

FITNAH YANG PALING BESAR ADALAH FITNAH DAJAL ANTI-CHRIST..SEMOGA KITA DIJAUHKANNYA

Al-Wardah said...

Tapi fitnah ini yang sedang berleluasa sekarang..

ariana's said...

Moga kita semua dijauhkan dari fitnah yang amat merbahaya..