NAFSU BERSANGKARKAN JASAD MANUSIA



Allah S.W.T telah menjadikan manusia dengan mengurniakan nafsu, sama dengan binatang tetapi Allah S.W.T telah memuliakan manusia dengan mengurniakan akal. Apa yang membezakan manusia dan haiwan ialah akal. Justeru itu cara hidup kita berbeza dengan binatang walaupun kita mempunyai nafsu.

Nafsu yang bersangkarkan jasad manusia ini Allah S.W.T telah benamkan di dalam bakaran api hampir 500 tahun lamanya. Setelah itu barulah di tempatkan di dalam diri manusia. Namun begitu nafsu masih lagi membuas dan mengganas, buktinya angkara nafsu yang tidak terdidik menjadikan kehidupan manusia dipenuhi kedurjanaan dan penzaliman. Nafsu terus menguasai manusia dan menyuburkan hidup manusia dengan bermacam bentuk dan rupa kemungkaran dan kemaksiatan. Menjadikan nilai-nilai murni dan suci terluput dari kehidupan manusia dek kerana dimanipulasikan oleh kerakusan nafsu manusia.

Oleh yang demikian, menjadi kewajipan setiap muslim untuk berjuang dan berkorban untuk menundukkan nafsunya. Berjihad melawan nafsu sehingga nafsu itu bisa mendorong kita beramal soleh dan mencari keredhaan serta kemuliaan di sisi Allah S.W.T. Ketahuilah jihad yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu yang bersangkarkan diri kita.

Syeikh Muhyddin bin Al-A'rabi Rahimahullah menyatakan di dalam kitabnya ' Al-Futuhatul Makiyyah ' :

" Sesungguhnya Allah S.W.T ketika menciptakan nafsu,
Dia bertanya kepada nafsu: " Siapakah Aku? "
Nafsu menjawab: " Siapa aku? "
Lalu Allah S.W.T menempatkan dalam lautan lapar selama seribu tahun,
kemudian Allah bertanya lagi kepada nafsu: " Siapa Aku? "
Nafsu menyahut: " Engkau adalah Tuhanku. "

Dari pernyataan tadi, jelaslah kepada kita bahawa kelaparanlah yang boleh menundukkan nafsu. Oleh itu hendaklah kita mengikut Sunnah Rasul, makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Dengan itu kita dapat menundukkan nafsu dengan mudah seterusnya dapat melakukan amal soleh dengan lebih baik.

Syeikh Abu Sulaiman Ad-Darani Rahimahullah berkata: " Kunci (amal-amal) dunia adalah kenyang dan kunci akhirat adalah lapar. "

Sesungguhnya, ketika Allah S.W.T menciptakan dunia, Allah S.W.T menjadikan ilmu dan hikmah (kebijaksanaan)di dalam lapar dan menjadikan kebodohan dan kemaksiatan di dalam kenyang. Lawanlah nafsumu dengan lapar dan jaga (tidak tidur) yang bersungguh-sungguh. Sedikitkan tidur semampunya,tidur itu tiada faedah duniawi mahupun ukhrawi kerana tidur adalah saudaranya mati.

Janganlah membiarkan nafsu menguasai akal, sekiranya ini berlaku hancurlah kehidupan manusia, hilanglah maruah diri, keluarga dan agama. Jika akal menguasai nafsu segala-galanya akan menjadi aman dan tenteram. Akal pula perlu dituntun oleh syariat yang benar iaitu berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah nescaya kehidupan manusia akan bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Sebelum melakukan sesuatu perkara, fikirlah terlebih dahulu, timbang-timbangkanlah buruk dan baiknya barulah buat keputusan. Jangan sesekali membuat keputusan berdasarkan nafsu kerana nafsu tidak pernah menyuruh kita berbuat kebaikan melainkan yang nista belaka.

Teringat aku sebuah kisah yang berlaku kepada Saiyidina Ali Karramallahuwajhah, di mana beliau hampir-hampir membunuh seorang kafir di dalam satu peperangan tetapi beliau tidak jadi membunuhnya kerana tiba-tiba orang kafir itu telah meludahnya. Alipun meninggalkan orang kafir tersebut sehinggakan orang kafir tersebut tertanya-tanya dengan sikap Saiyidina Ali yang agak pelik itu. Orang kafir tersebut bertanya: " Kenapa kau tidak membunuh aku walaupun aku sudah berada di bawah kekuasaanmu, tambahan pula aku telah meludahmu. " Saiyidina Ali menjawab: " Aku takut membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana kau meludahku. " Beliau bimbang jika membunuh si kafir itu, niatnya untuk berjihad fi sabilillah akan menyimpang dari tujuan sebenarnya.

Wah begitu hebatkan??? Adakah kita semampu beliau?
Sekiranya perkara ini terjadi kepada kita, tak payah kena ludahlah, tercuit sedikitpun ada yang maki hamun sampai berguni-guni. Di manakah identiti kita sebagai seorang Islam kerana hal yang kecilpun boleh melatah apatah lagi dengan hal yang lebih besar. Marah orang mukmin bukan kerana dendam dan bukan kerana nafsu yang bertakhta tetapi kerana Al-Haq. Bukan kita tidak boleh marah, tetapi apabila agama kita dihina jangan sesekali kita biarkan.

Ingatlah marah itu berpunca dari hawa nafsu, bagaimana nak sejukkan? Beristighfarlah atau ambillah wudhuk dan lakukanlah solat sunat. Semoga perasaan itu cepat-cepat hilang dari membelenggu diri kita.




Daripada Abu Said Al-Khudri berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: " Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang merasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah dia berbaring. "

Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: " Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredhaan pada Hari Kiamat. "

Jika kita berjaya menundukkan nafsu bererti kita adalah seorang muslim yang cukup hebat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Insyaallah...






2 Comments

Terima Kasih Daun Keladi...
Kerana Sudi Bertandang Ke sini...

Zhai Jian! :D

Previous Post Next Post