MARHABAN...YA, RAMADHAN!!!

Assalamualaikum semua....!

Hiasilah wajah-wajah anda semua dengan senyuman... :-)

Sya'ban bakal meninggalkan kita, dalam beberapa hari sahaja lagi.....

Ramadhan yang ditunggu-tunggu pula bakal menjelma tidak lama lagi...

Ramadhan ialah bulan yang mulia, bulan rahmat, bulan maghfirah....bulan untuk memohon keampunan, bulan untuk bermujahadah...bulan beribadah.

Alhamdulillah...panjatkanlah kesyukuran kita terhadap Allah SWT kerana masih memberi kita peluang untuk bernafas di muka bumi ini dan dapat terus menikmati segala nikmat dariNya. Mudah-mudahan kita semua dapat sama-sama melangkah ke bulan yang mulia ini. Insyaallah...

Persiapkanlah diri kita untuk bertemu dengannya, untuk kita merawat rohani kita yang pastinya ada luka di sana sini. Luka yang boleh menjejaskan ketaqwaan kita terhadap Rabbul Jalil. Di dalam bulan inilah, peluang untuk kita merawat luka yang ada dengan melakukan amal sebanyak-banyaknya kerana pada bulan ini syaitan semuanya diikat. Justeru itu, mudahlah bagi kita untuk melakukan amal dengan seikhlas hati. Namun begitu, berwaspadalah kerana nafsu yang berada di dalam diri kita adalah sahabat yang paling akrab dengannya dan boleh melalaikan kita di dalam menunaikan ibadah terhadap Allah SWT.

Ketahuilah, berpuasa di bulan Ramadhan itu adalah wajib ke atas setiap umat Islam yang cukup syarat-syaratnya. Tiada siapapun yang terkecuali melainkan mereka yang diharuskan berbuka kerana sebab-sebab tertentu.

Maksud firman Allah SWT:

" Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu dari kamu, supaya kamu bertaqwa ". ( Al-Baqarah: 183-184)

Terdapat banyak fadhilat atau kelebihan di dalam bulan Ramadhan. Di dalam beberapa hadis Rasulullah SAW ada menerangkan tentang kelebihan-kelebihan tersebut, antaranya:

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. ~ Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi ~

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. ~ Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Habban dan Baihaqi ~

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. ~ Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi ~

4. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah SAW telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. ~ Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi ~

Secara ringkasnya, semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk sama-sama kita menghidupkannya dengan segala amalan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana berikut:

1. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

2. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

3. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

4. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

5. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiyah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

6. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

7. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

8. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

9. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

10. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Amal ibadah yang disarankan oleh Rasulullah SAW untuk disempurnakan sepanjang bulan Ramadhan, sebagaimana di dalam khutbah terakhir baginda pada bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, antaranya ialah:

  • Solat sunat Tarawih
  • Solat-solat sunat yang lain
  • Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
  • Memberikan hidangan berbuka puasa
  • Banyakkan membaca tahlil
  • Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah SWT
  • Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
  • Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  • Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.

Ingatlah! Janganlah kita mengikut hawa nafsu yang sentiasa menjurus ke arah maksiat dan penderhakaan terhadap Allah SWT. Berpuasalah dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT, bukannya kerana mengikut orang lain atau kerana terpaksa. Sesungguhnya, balasan bagi mereka yang meninggalkan puasa dengan sengaja adalah cukup pedih.

Dibawakan sebuah kisah dari sahabat Abu Umamah Al Bahili RA. Beliau berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

”Ketika aku tidur, aku didatangi oleh dua orang laki-laki, lalu keduanya menarik lenganku dan membawaku ke gunung yang terjal. Keduanya berkata, ”Naiklah”. Lalu kukatakan, ”Sesungguhnya aku tidak mampu.” Kemudian keduanya berkata,”Kami akan memudahkanmu”. Maka aku pun menaikinya sehingga ketika aku sampai di kegelapan gunung, tiba-tiba ada suara yang sangat keras. Lalu aku bertanya,”Suara apa itu?” Mereka menjawab,”Itu adalah suara jeritan para penghuni neraka.”

Kemudian dibawalah aku berjalan-jalan dan aku sudah bersama orang-orang yang bergantungan pada urat besar di atas tumit mereka, mulut mereka robek, dan dari robekan itu mengalirlah darah. Kemudian aku (Abu Umamah) bertanya,”Siapakah mereka itu?” Rasulullah SAW menjawab,”Mereka adalah orang-orang yang berbuka (membatalkan puasa) sebelum tiba waktunya.”

Berazamlah, bagi mereka yang berkenaan untuk melakukan ibadah puasa di bulan yang mulia ini dengan sempurna pada tahun ini (1432H). Semoga dibukakan pintu hati oleh Allah SWT buat anda semua. Dan ambillah kesempatan sebelum nafas terhenti dengan bertaubat kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan demikian segala amalan yang dilakukan diterima olehNya.

Sebelum aku membuat noktah terakhir pada entry ini, ingin aku berkongsi sedikit kisah tentang Almarhum bapaku. Beliau meninggal di dalam usia 80 tahun. Semua anaknya dilatih berpuasa semenjak umur 6 tahun lagi, begitu juga dengan mendirikan solat sunat terawih secara berjamaah. Mungkin aku antara mereka yang beruntung mempunyai seorang bapa yang mempunyai ilmu agama yang cukup utuh di dalam dirinya. Alhamdulillah...

Di sini bukan tentang anak-anaknya yang ingin aku ceritakan. Tetapi aku ingin ceritakan betapa kagumnya aku melihat kegigihan Almarhum bapaku menunaikan solat sunat terawih dari aku kecil hinggalah ke saat terakhir bersama beliau. Selama itu jugalah, aku tidak pernah melihat beliau meninggalkan solat sunat terawih walaupun sehari. Tidak kira sama ada dia sihat, uzur atau penat. Di dalam 2 atau 3 tahun terakhir aku bersama beliau, sudah nampak perbezaan keadaan kesihatan beliau apabila melihat cara dia menunaikan solat terawih. Kalau sebelum ini dia mampu berdiri tanpa berpegang atau bertongkat pada sesuatu, Ramadhan terakhir aku bersama beliau, dia memegang kerusi dengan tangan kanannya untuk berdiri ketika melakukan solat sunat terawih. Cuba bayangkan di dalam keadaan yang beliau sendiri rasakan tidak mampu untuk berdiri kerana cintakan ibadah terhadap Allah SWT dia gagahi jua. Bukan solat fardu tetapi hanya solat sunat.

Tapi....cuba anda semua fikirkan kalau dia yang berusia 80 tahun ketika itu mampu melakukan solat sunat terawih sepanjang bulan Ramadhan dengan berdiri, apatah lagi bagi kita yang masih muda, masih bertenaga. Tidak mampukah kita? Namun ada yang enggan melaksanakannya secara konsisten kerana kesilapan itu adalah bermula pada niat. Fikir-fikirkanlah...hanya mereka yang merasa manisnya iman sahaja sanggup bersusah untuk melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati terhadap Allah SWT. Tidak pernah aku melihat Almarhum bapaku solat di dalam keadaan sama ada duduk atau berbaring walaupun di dalam keuzuran dan beliau juga tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan begitu juga dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal.

Aku berkongsi bukan untuk berbangga atau untuk menerima pujian tetapi sekadar untuk memberi MOTIVASI bagi mereka yang culas untuk menunaikan ibadah puasa dan juga mendirikan solat sunat terawih serta melakukan amalan-amalan yang disarankan oleh Rasulullah SAW untuk menghidupkan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Almarhum bapaku adalah sumber inspirasi buat diriku di dalam melayari kehidupan di pentas dunia ini. Jika iman dapat diwarisi, akulah anak yang paling beruntung. Namun iman tidak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa....

~ AL-FATIHAH ~

buat

Almarhum Ayahandaku, Haji Wan Ghazali bin Mohamad....telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 2 Februari 2001 bersamaan 8 Zulkaedah 1421H di dalam usia 80 tahun.

Bah, aku merinduimu...berbahagialah engkau di sana..Semoga engkau di tempatkan di kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Amiiinn....


' AHLAN WA SAHLAN YA....RAMADHAN!!! '

2 Comments

Terima Kasih Daun Keladi...
Kerana Sudi Bertandang Ke sini...

Zhai Jian! :D

  1. Ramadhan Kareem Al Wardah. alfatehah buat Arwah abah Wardah, Akak pun kehilangan Ayah tersayang 12 tahun yg lalu..setiap kali ramadhan tiba..makin meluap rindu pada mereka2 yg telah pergi dahulu..

    ReplyDelete
  2. Iye kak...yg tinggal hanyalah memori ketika bersama mereka..
    AL-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan alam fana ini.

    ReplyDelete
Previous Post Next Post